21 Jan
Posted by BroBlogger as Pekerjaan
Hanya 1,473 calon daripada kira-kira 60,000 permohonan graduan di seluruh negara, terpilih untuk memasuki Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, berkata semua calon ditawarkan mengikuti 17 bidang pengajian di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG).
Beliau berkata, jumlah kemasukan menurun tetapi mengikut unjuran keperluan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.
Selain itu katanya, syarat pengambilan turut diperketat dengan menetapkan calon mesti memiliki kelulusan ijazah pengajian yang sesuai dengan kursus.
“Berbanding dulu kementerian tidak menekankan bidang pengkhususan, tetapi sekarang calon yang hendak mengajar Matematik mesti memiliki ijazah dalam bidang itu.
“KPLI menekankan aspek pedagogi, justeru kita berharap calon sudah mendapat ilmu dalam bidang mata pelajaran yang mereka dikehendaki mengajar ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.
“Selain itu, kementerian juga membuat penambahbaikan dengan mengambil kira tempat asal calon yang memohon. Sebagai contoh jika kementerian ada keperluan guru untuk Sabah dan Sarawak, kita akan beri keutamaan kepada calon tempatan,” katanya.
Katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI Ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Ilmu Khas di sini, semalam.
Katanya, kementerian sedang berusaha meningkatkan jumlah pengambilan calon lelaki bagi menyertai profesion keguruan.
Ketika mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ada segelintir guru besar menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan guru yang ‘tidak sebulu’ Asariah berkata, beliau belum mendapat sebarang laporan rasmi tetapi guru terbabit boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing.
- BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Dua beradik dan bapa saudara mereka antara lapan lelaki yang ditahan berhubung kes pembakaran gereja Metro Tabernacle Ag di Desa Melawati, Wangsa Maju di sini, baru-baru ini.
Kesemua mereka berumur antara 21 hingga 26 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang bermula petang semalam hingga pagi ini selepas 12 hari kejadian kebakaran gereja yang berlaku pada 8 Januari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata suspek pertama ditahan di Hospital Kuala Lumpur petang semalam.
“Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pukul 3.30 petang, ketika menerima rawatan di hospital tersebut berikutan kecederaan di bahagian dada dan tangannya akibat melecur,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata susulan daripada penahanan lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat itu, polis kemudiannya menahan tujuh lagi lelaki di lokasi berasingan di sekitar Ampang, yang dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes tersebut.
“Mereka yang ditahan adalah dua beradik yang berumur 24 dan 25 tahun, seorang lagi bapa saudara kepada adik beradik tersebut yang berumur 26 tahun, manakala lima lagi adalah kawan mereka.
“Dengan penahanan kesemua mereka itu, kita percaya kes kebakaran gereja di Desa Melawati selesai dan kita sedang menjalankan siasatan rapi bagi membolehkan mereka yang terlibat didakwa di mahkamah,” katanya.
Mohd Bakri berkata adik kepada suspek pertama yang ditahan turut mengalami kesan melecur di bahagian tangan kirinya dipercayai berikutan kejadian tersebut.
“Kesemua mereka bekerja dengan syarikat swasta antaranya sebagai kerani, penghantar surat dan kerja pejabat.
“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara,” katanya.
Beliau berkata semenjak kes pertama kebakaran gereja di Desa Melawati dan beberapa kawasan lain, polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut.
Bagi kes gereja Metro Tabernacle Ag, katanya, polis Bukit Aman bekerjasama dengan polis Kuala Lumpur bagi menjalankan siasatan dan setakat ini polis tidak menemui kaitan kumpulan tersebut dengan pembakaran gereja lain yang berlaku di Lembah Klang.
“Kita minta orang ramai bersabar dan memberi peluang pada polis untuk menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan kita menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Jangan cuba kaitkan kumpulan yang ditahan dengan pembakaran gereja-gereja lain,” katanya.
Mohd Bakri juga turut menegaskan kepada orang ramai agar tidak mengambil tindakan sama dengan melakukan tindakan yang boleh menjejeskan ketenteraman negara, kaum dan agama.
- BERNAMA

Harian Metro 20 Jan 2010 - KUALA LUMPUR: Bermodalkan suara lunak di gagang telefon, beberapa ahli sindiket penipuan profesional kad kredit dikesan ‘menyedut’ wang orang ramai dengan hanya menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia.
Sindiket penipuan profesional berkenaan didakwa hanya perlu meyakinkan mangsa menyerahkan nombor siri kad kredit sebelum wang mangsa lesap dalam tempoh beberapa minit.
Dalam beberapa kes, suspek menyamar sebagai pegawai Jabatan Siasatan Penipuan Kad Kredit Bank Negara yang sedang melakukan intipan dan operasi membongkar individu yang melakukan penipuan.
Kejadian terbaru pada 11 Januari lalu membabitkan seorang kerani bernama Low, 40, yang dihubungi suspek yang kononnya menjalankan siasatan, kira-kira jam 8.45 malam.
Lelaki terbabit bertanya sama ada mangsa ada membuat pembelian barang kemas di premis menjual barang kemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mangsa yang curiga dengan identiti lelaki berkenaan bagaimanapun menafikan sebelum meletakkan telefon itu.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian mangsa menerima pula panggilan telefon daripada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Bank Negara.
Dengan nada tegas dan meyakinkan, suspek mendakwa mangsa diperdaya pihak tertentu dengan menggunakan kad kredit palsu dengan nombor kad kredit miliknya.
Lakonan hebat itu menyebabkan mangsa yakin dakwaan berkenaan selepas suspek memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenal pasti suspek yang menyamar itu.
Suspek berpura-pura membacakan nombor kod kad kredit mangsa bagi tujuan penyemakan sebelum meminta mangsa mengesahkan nombor rahsia kad kredit.
Pada masa sama, suspek mengarah mangsa ke mesin pengeluaran wang automatik bagi menyemak 16 digit nombor kad kreditnya secepat mungkin.
Malah, suspek turut menyuruh mangsa menukar nombor pin kad kredit miliknya itu bagi tujuan keselamatan.
Bagaimanapun, mangsa mula curiga menghubungi pihak bank bagi penyemakan baki akaun penggunaan kad kreditnya.
Namun, agak terlambat apabila suspek terlebih dulu mengeluarkan wang RM3,511.22 tanpa disedari mangsa.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Danau Kota.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, kes penipuan terbaru itu kedua selepas seorang jurutera berusia 40-an turut diperdaya sindiket membabitkan kerugian RM40,000.
http://www.hmetro. com.my/myMetro/ articles/ Hanyasatupanggil anRM3_511hilangs ekelipmata/ Article
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Jan | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |
| 8 | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 |
| 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 |
| 22 | 23 | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 |